SAINGAN kelayakan hoki Piala Dunia wanita di Chile, terus dibelenggu situasi tidak menentu apabila pasukan nombor dua dunia, Australia sudah tiba, tanpa tiga negara peserta lain.
Ketika Malaysia disyaratkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) untuk menukar laluan perjalanan ke Santiago, pertandingan yang pada awalnya dijadual bermula Sabtu ini, dijangka masih sukar diteruskan.
Ini berikutan ‘sekatan keluar’ bagi Ireland dan Scotland ketika penutupan ruang udara negara Eropah masih dikekalkan akibat letusan gunung berapi di Iceland.“Andai kami dapat tiba di Santiago, pertandingan masih juga gagal diteruskan tanpa kehadiran Ireland dan Scotland,” kata Setiausaha Kehormat Persatuan Hoki Wanita Malaysia (PHWM), Dr S Shamala.
Sehingga kini, PHWM mengkaji kemungkinan menggunakan laluan menerusi Auckland, New Zealand untuk ke Chile yang hanya membabitkan tempoh perjalanan 20 jam, lebih pendek berbanding 44 jam termasuk 13 jam transit di Frankfurt, Jerman, berdasarkan perancangan awal.
Bagaimanapun, tarikh perjalanan masih belum diputuskan badan induk sukan hoki wanita negara itu kerana menunggu hasil perbincangan antara FIH dengan Ireland dan Scotland, mengenai situasi mereka.
Saingan kelayakan Piala Dunia kedua kali ini membabitkan lima negara selepas penarikan diri Ukraine dengan perlawanan dijadual berlangsung Sabtu ini hingga 2 Mei ini.
No comments:
Post a Comment