ADA nada bimbang diluahkan jurulatih skuad hoki negara, Tai Beng Hai selepas berlangsungnya sesi ujian kecergasan pemain pada minggu lalu menjelang saingan Piala Sultan Azlan Shah, bulan depan.
Daripada 25 pemain yang menyertai latihan bersama skuad negara, ada sebilangan daripadanya gagal mencapai tahap kecergasan memuaskan meskipun terbabit pada saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) sebelum menyertai kem latihan bersama skuad negara.
“Tahap kecergasan pemain bergantung kepada sejauh mana peranan mereka pada saingan liga. Contohnya, andai mereka sering turun beraksi, sudah tentu tiada sebarang masalah untuk mereka melepasi ujian kecergasan yang dijalankan.
“Sebaliknya, jika pemain jarang diturunkan, pastinya mereka akan berdepan masalah seperti ini dan ia sekali gus menyebabkan mereka perlu bekerja lebih keras dalam skuad negara.
“Bagi mengatasi masalah ini, dalam tempoh beberapa minggu sebelum berlangsung Piala Sultan Azlan Shah, saya perlu lebih menekankan kepada latihan berbentuk kecergasan kerana tanpa elemen ini, sukar bagi pemain untuk bersaing di tahap tertinggi,” kata Beng Hai.
Bukan meragui keupayaan saingan LHM dalam menghasilkan pemain yang berkualiti, sebaliknya Beng Hai menegaskan setiap pemain negara sepatutnya perlu menyertai sesi latihan bersama skuad negara walaupun ketika berlangsungnya saingan liga untuk mengekalkan prestasi terbaik mereka.
“Saingan liga biasanya berlangsung pada hujung minggu iaitu hari Jumaat dan Sabtu. Untuk mengekalkan prestasi mereka, saya berharap ada ruang untuk pemain negara ini menjalani latihan bersama skuad negara, mungkin sekali dalam tempoh seminggu.
“Harap perkara ini dapat dijalankan pada saingan liga yang dijadualkan bermula pada September ini. Jika tidak, saya jangkakan kami akan berdepan masalah sama seperti sekarang ini kerana selepas saingan liga, skuad negara akan menyertai Cabaran Juara-Juara 1 pula.
No comments:
Post a Comment