Thursday, 7 April 2011

Patah gigi main hoki

Memberitahu dunia beliau memakai gigi palsu tidak menjadi masalah baginya. Bekas bintang hoki, Mirnawan berkata, ia melambangkan pengorbanannya kepada negara.



MEMAKAI gigi palsu bukanlah kisah asing walau di negara mana pun. Namun apabila bekas kapten pasukan hoki negara, Mirnawan Nawawi, 38, tampil dalam iklan penjagaan gigi palsu dengan kenyataan beliau kini memakai gigi palsu, ramai yang terkejut.
"Tidak ada sebab saya perlu malu. Saya patah gigi sebab negara, semuanya dalam permainan hoki ketika menentang negara-negara lawan," jawabnya yang melibatkan diri dalam sukan itu secara profesional selama 15 tahun.
Dengan pencapaiannya dalam sukan yang menjadikan beliau ikutan ramai, ditambah pula rupa parasnya yang mudah menarik perhatian, kenyataan itu umpama sukar ditelan sehingga ada yang melihatnya sebagai hanya satu lagi strategi pemasaran.
"Syarikat yang menawarkan saya untuk berlakon iklan itu sebenarnya sebelum itu sudah melakukan tinjauan tentang mereka yang memakai gigi palsu.
"Apabila mereka mendapat tahu saya memakainya, mereka membuat tawaran kepada saya (untuk berlakon iklan itu).
"Semasa mula-mula ditawarkan, saya tidak berminat. Cuma saya beritahu mereka kalau betul-betul serius baru datang cari saya," katanya.

TIDAK merancang untuk berehat biarpun setelah 15 tahun bergelut untuk memajukan sukan hoki negara, Mirnawan kini memenuhkan jadual menguruskan restoran makanan laut Cinanya di Wangsa Link, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.


Paparan iklan tersebut dalam saluran televisyen utama negara menunjukkan niat syarikat itu serius.
Susulan daripada iklan itu juga, nama Mirnawan yang seketika sepi daripada dunia sukan dan glamor kembali mencanak. Beliau baru-baru ini disebut-sebut dalam forum dalam talian, antara lain membincangkan kesahihan kenyataan pemakaian gigi palsunya itu.
Anak kelahiran Kampung Banda Kaba, Melaka ini sebenarnya tidak pernah menyepikan diri. Sebaliknya, sejak bersara daripada skuad hoki negara pada tahun 2002, beliau masih bermain hoki, tetapi bukan untuk bertanding.
"Sekarang saya sudah ada komitmen lain. Hoki adalah permainan yang menuntut kepantasan dan melibatkan tekanan yang tinggi. Pada usia sekarang, saya bermain hoki untuk bersosial saja," katanya yang kini giat memikul tanggungjawab baru sebagai pengurus skuad hoki Projek 2013 negara.

MIRNAWAN (kiri) merupakan satu-satunya pemain hoki Malaysia yang pernah tersenarai dalam kesebelasan terbaik dunia.




Malah, pada waktu yang hampir sama, beliau mula mencuba sukan kriket. Penglibatan anak sulung daripada lima adik-beradik ini sebagai ahli majlis Persatuan Kriket Melayu Malaysia (PKMM) mendapat sokongan yang jitu daripada ahli-ahli yang lain.
Jika ada yang menyangka tiga penglibatannya itu sudah cukup untuk memenuhkan jadual hariannya, Mirnawan menambah, lebih kurang dua bulan yang lalu, beliau mencuba pula nasib dalam pengurusan restoran yang menghidangkan makanan laut yang dimasak gaya Cina.
"Saya sekadar mahu mencari kelainan. Ia adalah satu lagi cabang untuk diterokai. Apa yang saya perhatikan, sama ada ekonomi sedang naik atau jatuh, orang ramai tetap akan mencari makanan.
"Saya dapati pasaran untuk masakan Cina luas, tetapi pengusahanya masih kurang," jelasnya yang sememangnya menggemari makanan laut yang dimasak gaya Cina. Dia juga suka memasak.
Menghidangkan pembuka selera seperti kerang rebus dan sotong janggut goreng tepung, ikan bawal putih, senangin, jenahak, siakap, dan kerapu dimasak pelbagai cara menjadi menu utamanya.
Restoran Seri Wangsa Seafood di Wangsa Link, Wangsa Maju, Kuala Lumpur itu dikendali Mirnawan bersama-sama rakan kongsinya, Nik Suhaimi Ghazali, 41 dan seorang lagi yang berpangkalan di Kuala Sepetang, Taiping, Perak.
Kesibukan legenda sukan hoki negara itu pada hakikatnya bermula sejak beliau di bangku sekolah lagi. Dicetuskan daripada penglibatannya dalam sukan renang, beliau kemudian bermain bola sepak, disusuli hoki.
Tidak cukup dengan itu, Mirnawan yang kini merupakan bapa kepada dua orang puteri yang berumur lapan dan 11 tahun juga tidak melepaskan peluang bermain sepak takraw, polo air dan ping pong.
Ketika bersekolah dalam darjah lima, beliau mewakili sekolah untuk hampir kesemua jenis sukan yang diceburi.
Menyekolahkan anak-anaknya baru-baru ini, Mirnawan rupa-rupanya tidak pernah menyarung baju putih, seluar hijau dan kasut putih yang merupakan uniform lazim pelajar sekolah menengah sepanjang beliau membesar.
"Saya tidak pernah berpeluang memakai uniform sekolah. Bersekolah di Maktab Tentera Diraja, kami sentiasa berpakaian seperti askar. Latihan berkawad dan menggunakan senjata api serta mengikuti perkhemahan tahunan adalah aktiviti kami," imbas beliau.
Kekal aktif dan bertenaga sehingga hari ini, apa agaknya rahsia yang diamalkan Mirnawan?
"Sejak terlibat dalam hoki, saya diperkenalkan kepada ginseng. Saya mengamalkan makan ginseng mungkin bukan dari peringkat sekolah rendah, tetapi apabila saya semakin dewasa.
"Pendedahan itu mengajar saya bahawa ginseng mampu mengembalikan tenaga dengan berkesan. Tetapi pada waktu itu saya mengambilnya dalam bentuk cecair untuk keperluan bertanding.
"Sekarang saya meneruskan pengambilan ginseng sekadar untuk mengekalkan kadar tenaga dalam tubuh. Jadi pada hari ini saya mengamalkan Formula Lelaki keluaran Safwa Health," jelas Mirnawan yang menyimpan satu botol produk tersebut di pejabat beliau di Bangsar, dan satu lagi di rumah.
Produk keluaran New Zealand itu berjaya mendapat kepercayaan beliau setelah dua minggu mencubanya. Kata Mirnawan, kalau boleh beliau mahu menyimpan satu lagi botol suplemen itu di dalam kereta.
Untuk maklumat lanjut mengenai Formula Lelaki, hubungi Safwa Health di talian 03-5569 3522.

No comments:

Post a Comment